Friday, September 25, 2009
Perkongsian Kuasa Kepimpinan antara kaum di IPT Malaysia
Perkongsian kuasa kepimpinan antara kaum di IPT
Mukadimah, institusi kepimpinan pelajar yang utama dalam konteks IPTA di Malaysia ialah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dipilih melalui pilihanraya kampus yang dijalankan setiap tahun. Dalam pilihanraya kampus, lazimnya setiap pelajar akan membuang dua undi iaitu satu undi untuk kawasan bebas ataupun umum dan satu undi lagi untuk kawasan fakulti mereka. Proses ini seolah-olahnya mengikut model pilihanraya raya di negara kita iaitu satu undi untuk kawasan Parlimen dan satu lagi untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Walaupun secara rasminya pelajar-pelajar yang ingin mencalonkan diri dalam pilihanraya kampus bertanding secara peribadi namun keadaan yang sebenarnya calon-calon ini dikelompokkan dalam beberapa kumpulan seolah-olah mewakili parti masing-masing. Calon-calon dari sesuatu kelompok tertentu yang memenangi kerusi majority dalam MPP berhak menduduki barisan kepimpinan di dalam Persatuan Mahasiswa Universiti masing-masing seperti PMUSM, PMUKM, PMUM dan sebagainya. Kumpulan pelajar yang memenangi kerusi majoriti ini akan membentuk barisan Exco mereka atau lebih dikenali sebagai ‘Kabinet Pelajar’ yang biasanya merangkumi jawatan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat serta exco-exco yang memegang portfolio tertentu seperti Kebajikan Pelajar, Kepimpinan dan Penyelidikan, Akademik dan Kerjaya, Keusahawanan dan Korporat, ICT dan sebagainya.
Secara umumnya, pilihanraya kampus di IPTA adalah bayangan kepada percaturan politik di luar kampus. Ia seolah-olah satu mikrokosme kepada real politic di Malaysia yang membayangkan pertandingan di antara dua buah parti politik , iaitu samada parti aspirasi atau bukan aspirasi. Sejak tahun 60an dan awal tahun 70an lagi, memang wujud pertandingan di antara dua kelompok pelajar di dalam kampus yang membawa platform perjuangan yang berbeza. Tetapi, jika kita meneliti perkembangan politik di dalam kampus sejak kebelakangan ini terutamanya selepas Pilihanraya Umum yang ke-12, nampaknya kumpulan-kumpulan pelajar yang dilabelkan sebagai pro-mahasiswa telah mencapai populariti yang lebih tinggi di IPTA. Hikmah saya di sini adalah bukan untuk mempromosikan populariti mana-mana parti di dalam kampus tetapi adalah penting untuk memberikan latar belakang mengenai keadaan politik kampus yang sebenar dalam perbincangan ini.
Perkongsian Kuasa Antara Kaum dalam MPP
Dalam membincangkan konsep perkongsian kuasa antara kaum di MPP, kita perlulah melihat komposisi kaum di IPTA di Malaysia. Umumnya, beberapa universiti seperti UKM, UM, UPM, USM dan UUM mempunyai komposisi kaum di kalangan masyarakat kampus yang seolah-olah mikrokosme kepada masyarakat Malaysia. Di universiti-universiti ini, pelajar-pelajar bukan Melayu merangkumi lebih kurang 40-45% daripada keseluruhan masyarakat kampus. Ini merupakan satu blok kuasa politik kampus yang penting yang perlu dimenangi oleh mana-mana kelompok yang ingin menguasai kepimpinan MPP. Namun, pola pengundian golongan pelajar ini atau samada mereka akan mengundi atau tidak adalah isu yang terbuka untuk didebatkan. Jadi, wujudlah politik kampus yang mirip kepada perkongsian kuasa politik yang dipraktikkan di luar kampus. Memang terdapat unsur-unsur perkongsian kuasa yang mirip kepada formula Perikatan iaitu kerjasama di antara UMNO-MCA-MIC di dalam kampus. Wujud perikatan di antara pelajar Melayu yang bekerjasama dengan pelajar Cina dan India semasa pilihanraya kampus.
Sekiranya gabungan pelajar ini memenangi majoriti kerusi di MPP maka barisan kepimpinan akan dibahagikan mengikut tahap pengaruh kumpulan masing-masing. Namun, dalam konteks IPTA di Malaysia, politik perkauman yang mewarnai politik Malaysia tidak dapat dipisahkan dalam kampus. Barisan kepimpinan masih lagi ditentukan oleh faktor perkauman iaitu jawatan tertinggi masih diduduki pelajar Melayu dan pemimpin pelajar Cina dan India yang menyertai gabungan yang menduduki MPP biasanya akan diberikan jawatan Naib Yang Dipertua , Bendahari Kehormat, Timbalan Setiausaha Agung, ketua biro tertentu ataupun jawatan-jawatan Timbalan yang lain. Kerjasama dengan kumpulan pelajar bukan Melayu adalah penting untuk memastikan kemenangan untuk kelompok pelajar Melayu yang bersaing di antara satu sama lain kerana tidak ramai pelajar bukan Melayu yang berminat untuk menjadi calon MPP mahupun mengenali dan memahami apa itu politik kampus dan perkembangannya. Secara amnya, pelajar-pelajar Melayu adalah lebih political savvy berbanding pelajar bukan Melayu. Terdapat juga kumpulan kepimpinan di peeringkat kolej kediaman, iaitu Majlis Tertinggi Mahasiswa ataupun Majlis Tertinggi Pelajar. Keadaan yang sama berlaku juga merentas setiap kolej kediaman di sesuatu universiti, iaitu perkongsian kuasa antara kaum adalah lebih kurang sama, malahan sesetengah kolej tidak mempunyai wakil bukan Melayu dalam kelompok kepimpinan tersebut. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh ketidakinginan kaum bukan Melayu untuk menyertai mereka ataupun pihak pengurusan kolej kediaman yang memanipulasikan keadaan ini. Keadaan ini amat tidak sihat kerana suara dan hak kaum bukan Melayu tidak dapat didengar dan dibela. Wakil yang sedia ada pula tidak bersedia mencurahkan bakti demi kebajikan pelajar kaum lain berdasarkan pemerhatian yang dibuat.
Pemahaman saya terhadap pola pengundian di kalangan pelajar bukan Melayu ialah mereka akan mengundi calon-calon bukan Melayu yang jumlahnya kecil dan selebihnya calon-calon pelajar Melayu dari pakatan yang sama. Namun, saya yakin ramai mahasiswa bukan Melayu yang tidak mengundi dalam pilihanraya kampus terutamanya dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini kerana tidak melihat kepentingannya. Secara amnya, saya mendapati bahawa pelajar Cina adalah kurang berminat dalam hal-hal politik secara bandingannya. Aktiviti pelajar Cina masih lebih tertumpu kepada aktiviti kebudayaan dan sosial seperti Pesta Ang Pau, Pesta Tanglung, Persatuan AIESEC, Persatuan Buddhist, aktiviti –aktiviti kolej dan sebagainya. Jadi, hanya sebilangan kecil pelajar Cina yang terlibat dalam aktiviti poiltik kampus. Namun, perlu saya menitikberatkan di sini bahawa terdapat perubahan selepas tahun 1998 dalam era pasca pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan sedikit kebangkitan gerakan pelajar termasuk gerakan pelajar Cina seperti gerakan DEMA yang kini masih memainkan peranan yang aktif dalam kampus.
Ke arah Pembentukan Bangsa Malaysia –MPP Refleksi Kepimpinan Masa Depan Negara Kita
Cabaran pertama dalam Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbunyi, “membentuk sebuah Negara Bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah ‘BANGSA MALAYSIA’ dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.” Kita hanya akan mencapai impian Bangsa Malaysia ini sekiranya kita tidak lagi melihat kita sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau lain-lain tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Malaysia.
Saya tidak dapat menerima konsep perkongsian kuasa yang dipraktikkan di dalam kampus sekarang kerana ia masih dipengaruhi faktor politik perkauman tetapi ia adalah satu hakikat sebenar yang perlu kita hadapi.Impian saya ialah untuk melihat kepimpinan pelajar ditentukan oleh faktor-faktor seperti daya kepimpinan, tahap keintelektualan yang diperjuangkan oleh mereka untuk kecemerlangan dan kebajikan pelajar dalam kampus dan bukannya faktor perkauman. Namun, daripada penghayatan saya ini, adalah agak mustahil dalam jangka masa yang dekat disebabkan faktor senario politik negara yang lebih besar. Saya ingin melihat menjelang tahun 2020, pemilihan Yang Dipertua MPP akan dijalankan melalui kaedah pemilihan langsung iaitu sesiapa sahaja boleh dicalonkan tanpa mengira kaum dan pengaruh sesiapapun dan faktor pengundian oleh pelajar adalah berasaskan karismatik seseorang calon itu dan bukanlah warna kulitnya. Kepimpinan pelajar adalah refleksi kepada kepimpinan Negara masa depan. Jadi adalah penting politik kampus dapat membebaskan diri daripada bebanan politik yang dipraktikkan di luar. Kita ingin melihat faktor perkauman akan menjadi kurang signifikan dalam proses pembentukan Negara Bangsa Malaysia (nation building). Communal politics perlulah dikikis dan ia sepatutnya bermula dari politik kampus dan MPP adalah platform yang terbaik untuk pelajar menyumbang ke arah itu. Saya tahu ia adalah sesuatu yang tidak mudah dicapai dan memerlukan banyak kesabaran, keberanian dan akan memakan masa yang lama.
Secara keseluruhannya, pelajar hari ini akan menentukan arah tuju negara kita pada masa depan. Saya amat berharap Bangsa Malaysia akan tercapai pada suatu hari nanti. Tidak lama dahulu, pernah ada cadangan di kalangan ahli Barisan Nasional untuk membubarkan semua parti –parti komponen Barisan Nasional dan mereka semua diintegrasikan dalam satu parti sahaja iaitu parti Barisan Nasional namun cadangan seumpama itu nampaknya masih jauh daripada menjadi kenyataan. Saya amat menghormati pengasas UMNO, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar yang mempunyai pandangan yang begitu jauh dan beliaulah yang mula-mulanya berusaha mengikis politik perkauman di Malaysia dengan mencadangkan keahlian UMNO dibuka kepada semua kaum pada tahun 1960an lagi. Namun, beliau adalah ‘A man beyond his time’. Semua pelajar harus mempunyai anjakan paradigma yang tinggi agar dapat mengubah suasana politik di dalam kampus dan bersama-sama mewujudkan semangat integrasi dan perpaduan yang intim demi kesejahteraan manusia sejagat Negara tercinta. Saya berharap saudara-saudari sahut akan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat negara kita dalan era globalisasi ini. Ini bukan lagi isu persaingan di antara kita tetapi persaingan dengan dunia luar. Tergamakkah kita membiarkan wawasan dan visi Negara kita hanya tinggal omong-omong kosong?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Dukacita saya nyatakan bahawa politik di kampus tidak dipunyai oleh pelajar sepenuhnya. Perkongsian kuasa kepimpinan antara kaum di IPT bukan tidak dapat ditunaikan, tetapi ia adalah dihadkan oleh pihak atasan yang tiada pandangan jauh dan gemar akan budaya politik di Malaysia kini. Apakah itu demokrasi?Hanya teori tetapi tiada practical.
ReplyDelete